Pelancaran Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas






TEMBURONG, Jumaat, 12 Disember. - Bersempena musim cuti persekolahan dan Festival Disember Brunei (BDF), Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Temburong serta Persatuan-Persatuan Motorsikal Negara Brunei Darussalam dengan sokongan Jabatan Daerah Temburong dan Jabatan Penjara telah mengadakan Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering.


Program tersebut merupakan acara kemuncak Program Ke Temburong Bisai bagi tahun 2025.


Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku tetamu kehormat, bertempat di Ruang Legar, Bangunan Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, Daerah Temburong.


Turut hadir, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; serta ketua-ketua jabatan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong.


Dalam ucapan alu-aluan, Penghulu Mukim Zon 1 selaku Pengerusi Bersama Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering, Awang Arbi bin Haji Shahari, antara lain menjelaskan bahawa Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering 2025 merupakan acara kemuncak ataupun finale bagi Program Ke Temburong Bisai bagi tahun 2025.


Katanya, antara objektif program berkenaan adalah bagi mengumpulkan peminat-peminat motosikal dari Kepulauan Borneo serta menarik pengunjung dari dalam dan luar negara ke Daerah Temburong semasa musim percutian sekolah pada bulan Disember.


Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha dari Majlis-majlis Perundingan Kampung serta pengusaha kecil dan sederhana khususnya dari Daerah Temburong untuk menjual dan mempromosikan produk kampung masing-masing.


Program ini turut menyediakan platform bagi jabatan-jabatan kerajaan dan persatuan-persatuan untuk membarigakan serta mempromosikan perkhidmatan dan produk-produk yang disediakan dan dihasilkan oleh jabatan atau persatuan masing-masing.


Antara pengisian majlis pelancaran ialah aktiviti jualan dan pameran bersempena Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering.


Tetamu kehormat juga menyaksikan pameran daripada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan Program Kemasyarakatan Jabatan Penjara yang mengetengahkan jualan serta Produk INSAF.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri kemudian membuat lawatan ke Kedai Kampung di Bangunan Kedai Rakyat Jati, Pekan Bangar.


Kedai Kampung, sebelum ini dikenali sebagai Pusat Produk Mukim dan Kampung, telah dirasmikan pada 4 Oktober 2009 dan ditadbir urus oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Amo.


Pada 28 April 2015, tadbir urus pusat tersebut diambil alih oleh MPK Selangan, Parit dan Biang Menengah. Pada Oktober 2015, pusat tersebut diberikan nama baharu iaitu 'Kedai Kampung' dan kekal diguna pakai sehingga kini, setelah penaikkan taraf Bangunan Kedai Rakyat Jati.


Kedai Kampung kini beroperasi dengan wajah baharu dengan peningkatan ruangan serta kepelbagaian jenis jualan, termasuk produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P), kedai runcit dan fasiliti-fasiliti lain.


Orang ramai dialu-alukan hadir bagi meramaikan dan memeriahkan Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin hingga 14 Disember 2025 mulai jam 8.00 pagi, bertempat di sekitar Pekan Bangar.


Close